.:Followers:.

June 27, 2010

Cinta Dosa Menggelamkan Nur Hidayah

.:بسم الله الرحمن الرحيم:.


Duhai teman...

Disaat aku menulis surat ini, ianya betul-betul menerjah di pundak hati kecilku. Hayatilah apa yang ingin aku sampaikan, buat renungan hati-hati mahu mentaati.

Betapa pilu menatapi sebuah kehidupan di kesenjaan malam keseorangan tanpa cucuran hujan wahyu dari langit cinta Ilahi. Betapa tega menyelami masin lautan duniawi bersendirian tanpa benih kasih hakiki tertanam di tanah subur. Menanti penuh berhati-hati, bimbang tertusuk belati meracuni.

Indah menderap kaki di pentas membulu ini.

Melambung tinggi ombak menghempas dada longlai di arus kegilaan. Hiasan cantik mengelabui mata di sebalik tembok sempadan al-Haq. Menanti kunjung maut sendu malang di persimpangan membebalkan. Cinta dunia adalah keutamaan, tiada lagi nilai tangisan taubat meratapi pemergian jasad dikasih.

Hanya berbekal kenikmatan sementara, merintis bahagia di kepuraan.

Hakikat ini semacam sudah tradisi dalam perjalanan hidup para pencari kesenangan fana, mengadai mampu dan kudrat hingga melupai tujuan asal sebelum dimatikan dari salah satu perjalanan manusia bergelar, al-Insan.

Ingatlah teman, dunia sentiasa ‘kenyang’ memakan manusia malang.

Kita sudah lupa agaknya, pendakwah yang datang berdagang, bukan sahaja membawa dagangan jasmani tetapi juga dagangan rohani. Diperhalusi keadaan ketika berkembangnya agama di Nusantara, budaya bercerita turut dibawa bersama. Kita mesti memberikan ilmu, pimpinan, panduan, kemahiran kepada orang di sekeliling kita.

Jangan bakhil menabur kebaikan.

Dengan perkembangan minda manusia, pembukusan berlebihan ini dirasakan tidak diperlukan lagi sekarang, kerana penyampai dan penerima telah mencapai tahap pemikiran yang bersedia membuat pindahan dengan cara yang lebih berkesan. Bagaimanapun, sebagai warisan ia adalah sesuatu yang tidak patut dipinggirkan.

Di kala itu, inilah salah satu cara terbaik berdakwah santai, menerapkan cerita-cerita cereka dengan natijah khusus yang bermakna, untuk menjadi ingatan dan pedoman kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya. Berkembanglah hikayat cerita lama yang berkesan menerjah ke arah minda, yang hanya memerlukan suasana biasa.

Usahlah mengenang kembali kisah Pak Pandir, kalah minda melakonkan.

Mereka terus dibuai dengan kepercayaan bahawa apa yang ada pada mereka adalah itulah yang sebenarnya, tanpa mahu menjalankan ujian kepada kepercayaan yang mereka pegang, atau bergerak mencari pembuktian kepada kepercayaan yang mereka anuti.

Mereka inilah yang akan rugi, kerana yang datang secara terus akan memantul dan yang datang secara sipi akan terus menyepi kesunyian.

Dunia menang, namun air mata manusia makin bergelinang.

Mereka rasa bukan untuk mereka.

Percayalah, memberi kepada orang lain samalah seperti memberi kepada diri sendiri. Kita menghargai walaupun tiada nilai di pandangan manusiawi. Penangannya, sama seperti menyarung kalungan bunga mawar di kepala, pesona baunya tetap utuh biarpun bunganya luput di pandangan mata.

Aduh…

Terasa diri amat kurang memberi. Pemberian Allah Taala teramat banyak, tidak terhitung. Namun diri ini terlalu kurang memberi, mungkin kerana mendahulukan kehendak yang tidak pernah puas. Dunia makin tua, usia makin berkurangan, makin pendek tapi memberi makin kurang.

Allah Taala berfirman:

Bermaksud: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)” as-Syuaara’ (26:88-89)

Ini semunya adalah bekisar tentang kaedah, dan cara penyampaian berhikmah.

Manusia tetap manusia, andai tiada disaluti kain keimanan. Membias dari kebiasaan. Ironinya, cinta diberi pada pusara yang digali makin membesar. Pasrah di kala senja membaringkan badan, menutupi sebuah impian. Impian sudah mulai kabur, cinta tidak lagi laku. Memberi tiada pula sudi menerima.

Irama syahdu mengiringi jasad ke pusara. Tiada lagi berteman, hanya saham di dunia pada kebaikan akan menjadi perisai dan pedinding kalis hentaman kuat Raqib wa ‘Atib. Dan hakikat itu, pastinya tidak dapat kita singkap dengan akal kita yang sejengkal berbanding dengan ilmu Allah Taala Maha luas.

Dia sedar bahawa kelebihan yang diberikan kepadanya untuk menungani cinta ‘pahala’, hakikatnya, adalah satu amanah daripada Allah Taala yang mempunyai maksud tertentu untuk difahami dan dilaksanakannya. Dia telah gagal memikul amanah ini, mengkhianati pemberian ikhlas-Nya ini.

Tiada siapa lagi mempercayai kelebihan dimilikinya, kerana dia sudah terpenjara oleh kenikmatan cinta dunia sementara. Rasa belum cukup puas dengan apa yang ada dan terus haloba dengan apa yang tiada. Mencari dan terus mencari.

Oleh itu, berhati-hatilah melayarkan bahtera hati, agar tidak karam di tengah lautan samudera duniawi.

Bacalah surat cinta ini, dan dalami seadanya.

ameen..
dipetik dari : putera azhari
p/s : teringan qiam form one hari tu..sungguh sayu..Ya Allah tetapkanlah hati2 kami di jalan yang lurus..
..sedikit perkongsian..muratib 'amal ------------->



















May 15, 2010

kembalikan hak kami!

.:بسم الله الرحمن الرحيم:.


Tanggal 15 Mei 1948 merupakan tarikh yang amat penting untuk disingkap oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Pada tarikh tersebut, penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin telah diisytiharkan secara rasminya. Peristiwa tersebut turut dikenali sebagai 'nakba'.


Nakba bermaksud malapetaka atau bencana besar. Dalam peristiwa nakbah, Yahudi Zionis telah bertindak kejam dengan mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800,000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara, manakala 30,000 yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 daripadanya serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Rejim Zionis telah bertindak di luar batas kemanusiaan. Nyawa penduduk Palestin bagaikan tiada nilai di mata mereka. Pelbagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai telah berlaku sepanjang peristiwa Nakbah. Antara peristiwa yang paling tragis ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak.

Petugas Palang Merah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak.

Sejarah kejatuhan bumi Palestin ke tangan Yahudi bermula apabila Britain melalui Setiausaha Negara Hal Ehwal Luarnya, Arthur Balfour, telah mengeluarkan satu kenyataan bertarikh 2 November 1917 yang menjanjikan masyarakat Yahudi satu tanah airnya di Palestin. Pengisytiharan itu telah digelar sebagai Ominous Declaration (Pengisytiharan Celaka).

Isu Palestin menjadi isu antarabangsa apabila kerajaan Britain pada 2 April 1947 mendesak supaya isu Yahudi dan Palestin dimasukkan sebagai agenda PBB. Tidak lama selepas itu, sebuah jawatankuasa antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat laporan mengenai isu Palestin.

Cadangan dasar jawatankuasa ini adalah pembahagian wilayah Palestin yang tidak adil iaitu kepada negara Arab dan negara Yahudi yang merdeka, dan Jerusalem (Baitulmaqdis) diletakkan di bawah tanggungjawab antarabangsa. Jelas sekali bahawa PBB sendiri bersubahat dalam proses pendudukan haram Yahudi di Palestin dan menjadi boneka kepada Yahudi.

Penderitaan yang dialami oleh penduduk Palestin hingga kini masih belum berakhir. Rakyat Palestin telah mencuba pelbagai cara untuk membebaskan bumi Palestin dan mendapatkan kembali hak-hak mereka yang telah dirampas di tanah suci tersebut. Antaranya ialah melalui perjanjian damai, persidangan, perundingan, dengan mengikut pelan damai yang dianjurkan oleh PBB dan sebagainya. Bagaimanapun, semua cara itu menemui kegagalan dan rakyat Palestin memilih jalan lain untuk merungkai permasalahan mereka iaitu dengan kebangkitan, penentangan dan perjuangan jihad.

Dalam usaha untuk membebaskan negara sendiri daripada cengkaman penjajah, penduduk Palestin telah dilabel sebagai pengganas oleh Israel dan sekutunya. Mereka cuba untuk mengaburi mata masyarakat dunia melalui media massa yang sering memperlihatkan dan menonjolkan penduduk Palestin sebagai pengganas.

Pengganas Yahudi mendakwa bahawa mereka menjadi mangsa kekejaman penduduk Palestin sedangkan pengganas sebenar adalah mereka sendiri. Yahudi turut mendakwa bahawa mereka adalah penduduk asal di bumi Palestin semenjak zaman nabi Musa a.s lagi.

Namun hakikatnya, kedatangan mereka ke Palestin adalah sebagai imigran pada ketika itu. Dan kini mereka bertapak di bumi Palestin melalui kolonialisasi.

Dakwaan bangsa Yahudi bahawa faktor sejarah menjadikan mereka lebih berhak ke atas Palestin tidak berasas. Mereka hanya sempat memerintah sebahagian kecil kawasan di bumi Palestin untuk tempoh empat tahun sahaja sedangkan pemerintahan Islam berlanjutan selama 12 kurun (636M - 1917M).

Bangsa Yahudi juga suatu ketika dahulu ramai yang telah meninggalkan Palestin dan hubungan mereka dengannya terputus untuk hampir 18 kurun lamanya (135M - kurun ke-20).

Manakala penduduk asal Palestin pula tidak pernah meninggalkan bumi Palestin untuk selama 4500 tahun hinggalah kepada pengusiran secara paksa oleh kumpulan pengganas Yahudi pada tahun 1948. Namun mereka tidak pernah menyerah kalah malah terus berusaha untuk menegakkan kembali hak mereka ke atas bumi Palestin.



Sesungguhnya tragedi yang menimpa penduduk Palestin merupakan isu yang melibatkan seluruh umat Islam di dunia. Kepentingan Palestin bagi umat Islam amat jelas berdasarkan al-Quran dan hadis. Ia adalah bumi suci di mana ramai para rasul Alaihissalam dilahirkan dan wafat di sana. Ia adalah medan perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah tauhid. Bumi Palestin juga telah dimuliakan oleh Allah SWT dengan kewujudan Masjid al-Aqsa. Masjid ini di samping kiblat pertama umat Islam, juga antara masjid yang dimuliakan Allah SWT dan tanah suci ketiga setelah Mekah dan Madinah.

Rasulullah SAW bersabda, "Diutamakan (digandakan) solat di Masjidil Haram atas yang lain dengan seratus ribu solat, dan di masjidku dengan seribu solat dan di Masjid Baitulmaqdis dengan lima ratus solat." (Riwayat at-Tabrani - martabat Hassan)

Selain itu, Baitulmaqdis merupakan kiblat umat Islam. Umat Islam bersolat berkiblatkan Baitulmaqdis sepanjang kehidupan Rasulullah SAW di Mekah sebelum hijrah dan juga selama 16 bulan pertama Rasulullah SAW di Madinah. Selepas itu Allah SWT mengarahkan agar kiblat bertukar arah ke Kaabah di Mekah. Baitulmaqdis juga merupakan tempat berlakunya Israk dan Mikraj.

Firman Allah SWT:
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran kami." (al-Isra':1)

Terdapat juga beberapa ayat lain di dalam al-Quran dan beberapa hadis Rasulullah SAW yang menggambarkan keistimewaan Baitulmaqdis di dalam Islam yang menunjukkan bahawa Allah SWT memuliakan tanah-tanah di sekelilingnya. Ia juga menyebabkan para sahabat Rasulullah SAW sangat menyayangi bumi Palestin ini. Malah ketika Umar al-Khattab r.a menjejakkan kakinya ke kawasan ini buat pertama kalinya, beliau telah mengumumkan bahawa seluruh bumi Palestin itu adalah wakaf kepada generasi umat Islam akan datang.

Realitinya, umat Islam pernah menguasai Baitulmaqdis selama 12 kurun dan memelihara kesucian kota ini, selepas ia dicemari tangan-tangan kufur berkurun lamanya. Kini, Baitulmaqdis kembali ke tangan kufur, maka siapakah yang akan mengembalikannya ke tangan umat Islam?

Sesungguhnya Palestin bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, Baitulmaqdis bukanlah tempat suci mereka sahaja dan Masjidil Aqsa bukanlah milik mereka sahaja tetapi milik kaum Muslimin dari Timur sampai ke Barat.

Ia juga milik umat Islam generasi kini dan akan datang hingga hari kiamat. Oleh yang demikian, perjuangan untuk membebaskannya daripada tangan-tangan kufur adalah perjuangan kita bersama.

Artikel ini ditulis oleh Najib Afif Arip seperti mana yang tersiar di Utusan Malaysia.

Bacaan lanjut tentang Palestin boleh juga didapati di Palestin Kini.

May 10, 2010

2 cinta dalam 1 masa??

.:بسم الله الرحمن الرحيم:.


Kenapa saya tetiba sahaja rasa cukup hairan dan pelik hari ini, bukan kerana saya terlihat sesuatu yang aneh berlaku di hadapan mata, apatah lagi di bumi bangsa arab ini, tiada sesuatu yang dianggap luar biasa, kecuali dulu mula-mula sampai berlaku sedikit culture shock, mind shock, dan banyak lagi ‘shock... namun bila dah beberapa minggu perhati, cermati sedalam-dalamnya lebih kurang tempat kita, bezanya mereka cukup berpegang pada solusi agama, walaupun jahat mana sekalipun mereka tahu untuk hormati orang tua, memberi laluan, makan mesti dijemput sama.

Pelik dan aneh sebab terbaca e-mail seorang pengunjung laman puteraazhari. Dia memang cintakan Allah Taala, kasih pada orang tua, cinta akan kebaikan, namun pada masa yang sama beliau juga tidak boleh tinggalkan maksiat, sering juga melakukan kemungkaran, main nombor ekor, bersekedudukan dengan perempuan, dan kadang-kadang liat tunaikan solat.

Mungkin masalah ini telah pun para pembaca budiman terdengar, terbaca bila ada juga manusia mengumpul dua cinta dalam satu-satu masa. Bolehkah?

Mungkin dalam hal ini tidaklah sesusah kita melakukan dua pekerjaan dalam satu masa, seperti siang bekerja sebagai petani manakala malam pula sebagai nelayan. Namun, begitupun mampu tapi kesannya juga tidak bagus, tidak baik untuk kesihatan.. mungkin hari ini, esok dan lusa mampu konsisten tapi bila dah masuk minggu kedua, ketiga baru tahu jerih dan peritnya menumpukan dua perkara dalam satu masa.

Minyak tidak akan selama-lamanya bercampur dengan air, kerana itulah sifat tabi’ kejadian minyak dan air.

Cintakan Tuhan, malah cintakan dosa.

Mengapa ustaz, saya cinta kebaikan... selalu tolong orang tua, solat tidak pernah tinggal tapi masih lagi cenderung untuk melakukan maksiat rintih seorang mahasiswi.

“Mengapa.. kenapa...” antara dialog sering diulangsiar... masalahnya sama, masalah hati.

Manusia yang telah lama terdidik dengan pengajian agama, mempunyai asas agama, pernah terdedah pada program-program pembangunan jiwa, bila sahaja dihadapkan dengan pelbagai masalah yang berkaitan hati, mahupun sosial tidak sihat, at least ada juga terdetik di hati mereka rasa sesal dan ingin kembali pada pangkal jalan. Bagaimana pula mereka yang baru ingin mengenal apa itu solat, apa itu puasa, boleh ke couple dan sebagainya tanpa ada bimbingan, agak-agak mereka boleh tahan gelocakan hawa nafsu yang membuas.

Tanpa ada bimbingan dan panduan berkala mereka akan merasa semua itu membuang masa, tak larat, rasa canggung bila tahu lelaki dan perempuan tidak boleh holding hand, say love you before marriage, meninggalkan arak lagilah susah, sama juga rokok.
Cepat berputus harap dari rahmat Allah.

Ingatkah lagi kita pada pesanan Nabi Ya’qub kepada anak-anaknya ketika berdukacita kehilangan dua anak lelakinya yang dicintai Nabi Yussof dan Bunyamin;

يَـٰبَنِىَّ ٱذۡهَبُواْ فَتَحَسَّسُواْ مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَاْيۡـَٔسُواْ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِ‌ۖ إِنَّهُ ۥ لَا يَاْيۡـَٔسُ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡكَـٰفِرُونَ
Allah Taala berfirman yang bermaksud: (Berkata Ya’qub) Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yussof dan saudaranya (Bunyamin) dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir Yussof (12:87)

Apakah kita sanggup dilabelkan sebagai orang kufur, kerana kita cepat menyalahkan takdir. Puas berdoa, tapi tidak pernah sembuh sakit, tidak pernah kaya, jodoh tidak pernah kesampaian dan sebagainya.

Bukan macam tu...

Memang benar, kebiasaan manusia bila lupa akhirat, kejar dunia berapa ramai yang ingat solat, ingat nak puasa Bulan Ramadhan, mereka tahu itu semua suruhan dalam agama.. sedangkan meninggalkan salah satu rukun Islam dengan sengaja adalah kafir.

Pertama, kita kena lihat diri sendiri kerana masalah bukan pada masalah tapi sebenarnya diri kita bermasalah, orang kata; “ada somethings wrong”.

BERUBAH ARAH KEBAIKAN

Bersyukur pada Allah kita ini fitrahnya Islam, yang suci dan bersih dan hari ini bersyukur kita kerana masih Islam. Sememangnya, fitrah manusia yang tidak sempurna, melakukan dosa dan maksiat, mudah tergoda dan macam-macam lagi. Inilah ujian dari Allah untuk menguji tahap keimanan kita. Adakah kita sabar dalam menghadapinya ataupun kita terus mengalah dan berputus asa lantas menjadi hipokrit dengan memaling terus dari jalan menuju redha Allah?

Rasulullah s.a.w ada bersabda: Dugaan itu akan terus menimpa seseorang mu’min dan mu’minah, di dalam diri, anak pinak, dan hartanya sampailah dia bertemu (meninggal dunia) Allah dan dia tidak mengerjakan kesalahan” (Hadith Tirmidzi)

Memang susah merubah sesuatu buruk menjadi baik.
Analoginya mudah, seperti kita mempunyai sebuah kereta. Merosakkan kereta, kemetkan body kereta memang mudah, sangat mudah, dengan sahaja kita langar tiang, atau masukkan air dalam tangki minyak, dalam beberapa minit sahaja kereta pasti dihantar ke workshop. Tapi bila dari rosak tu bila nak pulihkan balik, baru tahu betapa susah, berat sangat nak hulurkan tiga ribu ringgit sebagai upah dan barang yang digantikan.

Dulu sebelum merana, sebelum kena tak mahu beringat. Bila dah terasa susah, baru tahu ingat nak jaga dan sebagainya.

Begitu juga manusia. Kita ada sekeping hati yang perlu dijaga dipelihara. Kalau ‘jantung’ kereta adalah enjin, begitu jua peranan hati pada jasad dan roh manusia.

Pandai melihat kebaikan dalam kesusahan. Di sana hati cepat sampai pada Tuhan. Pandai menilai antara baik dan buruk (jahat). Banyak benda kita bisa buat baik, tapi awas terlalu banyak kita bisa buat jahat.

Tidak dikira jahat hanya kerana kita tengok hiburan yang tiada unsur agama, yang tidak kisah mengenai batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti anugerah skrin, anugerah juara lagu, drama dedah sana sini... kita dikira sebagai tidak baik atau lebih senang dikira sebagai seorang yang jahat. Hati perlu juga ada hobi (hubbi), ada apa yang ‘ia’ suka tapi kenalah bijak menangani.

Ooo.. kalau buat begini salah di sisi Islam cepat-cepat mendidik hati.

Kita perlu sedar, wahai hati-hati yang ingin, sedang dan telah berubah ke arah baik dan lebih baik, ketahuilah kita tidak pernah sirna dari silap, ubatnya ialah kebaikan kita lakukan akan menimbus keburukan kita yang lepas. Bagi yang ingin berubah, saya fikir kita haruslah terus menerus niatkan dalam hati kerana Allah dan sentiasa ingat tujuan kita. Bagi yang sedang berubah, istiqomahlah dalam apa jua kebaikan yang sedang dilakukan manakala bagi yang telah berubah, janganlah berhenti di tahap itu sahaja sedangkan perjalanan kita menuju akhirat sana perlukan bekalan yang banyak, jalan menujunya tidak pernah licin, adakalnya becak, berlubang.. maka waspadalah selalu, jangan alpa dengan kesenangan sementara.

Allah Taala melihat dan menilai usaha kita untuk berubah dan menjadi baik.

TAJDID NIAT
Buat kebaikan tidak memerlukan perasaan malu, kalau buat sebaliknya boleh menghilangkan rasa malu. Ini kebaikan, kenalah lebih-lebih lagi. Secara generalnya, kebaikan yang dibuat tidak perlu manusia sebagai pemerhati dan pengkritik. Bukannya temuduga, atau apa...
Dan ketahuilah, Allah Lebih Mengetahui.

Penting kita untuk sentiasa tajdid (perbaharui) niat kita setiap masa, kalau boleh amalkan setiap kali selepas solat. Niat baik kita, seperti mana kita inginkan hidup hari ini lebih baik dari semalam, dan mudah-mudahan esok akan lebih baik dari hari ini (ameen).
Perlu ada mujahadah dan keyakinan dalam diri.

Mudah-mudahan juga, dengan tajdid niat itu akan melenyapkan impian kita untuk bermimpi melakukan maksiat, agar istighfar juga membasahi ketika itu. Ingat Allah, ingat semula niat dan tujuan kita tadi, iaitu jadi lebih baik.Kita mesti mencapainya.

Sememangnya diri ini ingin melakukan satu perubahan yang agak besar untuk diri sendiri supaya menjadi insan yang lebih bahagia dan tenang. Kita masih dan terus masih mengumpul seribu kekuatan supaya perubahan ini tidak separuh jalan, atau terhenti sebelum bertemu noktah terakhir. Semoga ku beroleh kekuatan untuk menuju ke jalan yang bahagia itu.

Maka marilah sama-sama kita isi bekal kita dengan kebaikan yang berlipat kali ganda banyaknya dan sentiasa sematkan dalam jiwa bahawa kebaikan yang kita lakukan hanyalah ikhlas semata-mata kerana Allah Taala dan untuk mencapai redha-Nya sahaja, bukan untuk menjadi riak, sombong dan hipokrit.



March 23, 2010

Dimana letaknya Al-quran?


.:بسم الله الرحمن الرحيم:.



Tahniah di ucapkan kepada Barat serta gerakan yahudi laknatullah kerana sampai ke hari ini kalian telah Berjaya menjauhkan generasi belia muda dari Al-quran.Semakin hari semakin jauh.Ilmu yang di peroleh dari masyarakat remaja kini bukannya mendekatkan diri mereka pada ALLAH,tetapi semakin mendekatkan diri mereka dari azab api neraka dan kemusnahan tamadun ISLAM yang semakin hari kian runtuh.Ibarat hakisan tebing dan pasir di tepian sungai dan pantai.Sedikit-sedikit..lama-lama runtuh jua tebing itu.
Golongan muda hari ini semakin bahagia dengan ideology-ideologi buatan manusia.Semakin gembira dengan kehidupan yang penuh kebebasan yang di ciptakan oleh barat dan yahudi.Tahniah sekali lagi,wahai musuh ISLAM.Anda Berjaya kerana kelalaian kami sendiri.Anda Berjaya kerana kami sendiri yang menyingkirkan Al-Quran dari hati kami.
Semakin hari..semakin ramai teman seusia saya yang hanyut dengan cinta manusia bersulam nafsu dan bertopengkan syaitan.Dan semakin hari..semakin ramai kawanku yang “terlupa” akan kain yang menutupi mahkota bernilai mereka.Semakin hari..semakin ramai teman saya yang ingin membuka pakaian mereka untuk tatapan manusia sejagat.Bahagianya mereka..
Suka untuk saya bertanya…berapa ramaikah dari kalian yang benar-benar mengetahui segala isi al-quran?Tahukah kalian di dalam al-quran ada segala garis panduan?Daripada cara menenangkan hati kepada cara untuk menakluk dunia?
Sedihnya hati ini melihat kalian begini.Wahai anak muda…..Titisan air mata ini hanyalah titisan kesedihan.Tidak sedikitpun mampu membantu kawan2 saya di luar sana.Mengapa anda maju sebegini sekali?mengorak langkah yang lebih pantas.?Malah lebih pantas dari barat dan western….!
Kawan….Anda punya maruah..kawan..maruah anda itu sangat mahal.Ibarat permata di dalam kotak baldu.Di ukir dengan penuh ketelitian oleh PEREKA yang sangat mahir akan dirimu,di wujudkan pula manual dan juga peraturan dalam pengunaanmu,Di adakan sebuah kotak baldu yang indah untuk melindungimu daripada pandangan-pandangan pencuri dan penjenayah berhati gelap.Di sentuh dengan penuh kelembutan oleh PEREKA supaya tidak mencacatkan ukiranmu.Lalu,dikau dengan mudahnya merelakan si pencuri dan penjenayah merosakkanmu,dan dikau sendiri yang rela untuk lari dan meninggalkan kotak baldumu yang lembut,yang melindungi segala kecantikanmu hanya semata-mata ingin berasa bebas di luar sana.Dikau tidak kenal akan reality dunia,duhai kawan.
Kawan..dahulu kita bersama-sama.Menikmati juadah di kantin sekolah.Berborak dan bertukar pendapat.Kini…segalanya hanya tinggal kenangan..Kawanku tidak lagi seperti dahulu.Tidak lagi kawan-kawan yang memberi nasihat yang menenangkan hati dan jiwa.Bahkan kawanku di uji dengan dunia yang penuh tipu daya ini.
   

Inilah reality dunia “ISLAM”hari ini.Jika dahulu,zaman 50-an kurang sekali kelibat wanita-wanita bertudung,..mereka jahil tentang agama akibat penjajahan barat.Tetapi,adat melayu mereka kekalkan.Dan yang bertudung,mereka bertudung dan menutup aurat dengan sebenar-benarnya.Nilam agama ISLAM di pelihara.
Kini…
Dimana-mana sahaja wanita bertudung membonceng motosikal bersama kekasih pujaan hati.Dimana-mana sahaja wanita bertudung itu bercampur bebas dengan berlainan”gender”...
..HEBAT bukan..Hebat kan musuh kita..
Mereka Berjaya mengelirukan kita.Dengan berpakaian tudung,tetapi masih melakukan perkara mungkar.Hebat kan???
Hebat kan mereka…
Kita menutup aurat dengan sangat sempurna..tapi masih terjatuh dengan cinta “monyet” yang tidak tahu kepastiannya,sehinggakan kita sendiri yang menjadi fitnah kepada ISLAM..walaupun dengan lisan,kita mengatakan “ISLAM IS THE WAY OF LIFE”..Tetapi kita sendiri yang kononnya membawa dan mencerminkan pakaian seorang muslim kamil,menjadikan ISLAM sebagai mangsa fitnah..
Hebatkan mereka..
Berjaya mengubah persepsi penuntut-penuntut ilmu supaya belajar hanya untuk exam dan juga kerja tanpa sedikipun berniat untuk menyebarkan ilmu dan dakwah kepada manusia lain.Hanya bergoyang kaki dan menanti sesiapa sahaja datang untuk inginkan ilmu dan hidayah.
Sungguh,orang-orang yang menyembunyikan apa yang Kami turunkan berupa keterangan-keterangan dan petunjuk setelah Kami jelaskan kepada manusia daam kitab(al-quran),mereka itulah yang dilaknat ALLAH dan dilaknat pula oleh mereka yang melaknat..”
al-Baqarah ayat 159
Adakah diri kalian sangat hebat sehinggakan mereka-mereka yang jahil itu perlu pergi kepadamu??Adakah diri kalian itu sangat hebat sehinggakan MENGHUKUM mereka itu pemalas!..keras hati!..tidak mahu mencari hidayah dan peluang!..sedangkan ALLAH dan rasul sendiri tidak pernah menghukum mereka sedemikian.
Tidakkah kalian tahu dan mengenal mereka?mereka yang jahil kerana kurannya penhayatan agama akibat dari kejayaan-kejayaan ideology barat yang merakus di dalam diri pemimpin.Akibat perang saraf buatan yahudi?
Dan kalian masih hanya menanti dan tidak inginkan rasa CINTA ALLAH itu bersama-sama subur di dalam hati-hati mereka?
Hebatkan mereka..
Jika dahulu seorang Panglima Kristian yang kalah di dalam perang SALIB setelah 100 tahun berusaha menawan telah berkata “Kita(kristian) tidak akan menang di dalam peperangan menentang ISLAM jika Umat Islam ini masih berpegang teguh pada Al-Quran dan sunnah”..Kini mereka telah buktikan kata-kata mereka.Mereka telah menjauhkan kita daripada pegangan al-quran yang suci.
Dan..berapa ramaikah dari kalian yang mengetahui bahawa ISLAM ini syumul?Yang merangkumi semua kehidupan.Tidak perlu memisahkan agama dengan apa-apapun..Yang bukannya mengambil ISLAM ketika upacara-upacara tertentu sahaja..Yang bukan untuk insane-insan yang berada di dalam kesusahan sahaja…???
“Wahai orang-orang yang beriman!Masuklah kamu ke dalam ISLAM secara KESELURUHAN,dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan.Sungguh,ia musuh yang nyata bagimu.”
Al-Baqarah ayat 208
Wahai kawan-kawan tersayang..
Jauhnya kalian dari al-quran.Al-Quran yang mengajar cara hidup yang sempurna.Yang mengajar akhlak-akhlak ISLAM,yang mengajar berlapang dada dengan segala ujian yang telah di tetapkan,yang berlaang dada dengan jodoh pertemuan,yang mengajar ilmu masyarakat,yang mengajar erti persaudaraan,yang mengajar apa ertinya siang dan malam,yang mengajar apa ertinya sains dan teknologi,yang mengajar menjadi insan yang di hormati,yang terkadung akta-akta perlindungan wanita,yang terkandung akta-akta perlindungan bagi orang miskin dan juga fakir…dan bayak lagi.Tidakkah kalian berasa rugi akan kehilangan cahaya Al-Quran???
Ataupun kalian akan berasa kehilangan setelah tulisan al-Quran itu lenyap dari naskahnya?Dan hakikat sebenar tanda-tanda kiamat adalah apabila tulisan al-Quran hilang dari mushafnya.
Hilang yang sebenarnya bukanlah tulisan berdakwah hitam di atas lembaran kertas-kertas suci al-Quran.Hilang yang sebenarnya adalah apabila manusia tidak lagi mengendahkan segala ajaran al-quran.Semakin melupakan setiap bait kata nasihat dan panduan dari manual kehidupan yang suci itu.Semakin hari,peraturan dan nasihatnya terhakis.Dan apabila sampai masanya,manusia tidak lagi berpegang kepada Al-Quran ..lantas,nantikanlah hari pembalasan yang di janjikan-NYA!

p/s : dimana letaknya AL-quran?? adakah dihatimu atau sekadar di akalmu?? tepuk dada tanya amalanmu...



March 02, 2010

ada apa dengan 3 mac1924???


.:بسم الله الرحمن الرحيم:.


" Misi kita telah Berjaya di Turki. Kerajaan Turki Uthamaniyah telah pergi dan tidak mungkin akan datang kembali, kerana punca kekuatan sebenar Islam kita sudah hapuskan iaitu Khilafah Islamiyah. “ – Lord Qiruzon , 12 Oktober 1923 –

Derapan sejarah telah berlalu namun masih segar di benak ingatan tarikh palitan sejarah hitam buat seluruh saentero dunia Islam apabila pada 3 Mac 1924, Kerajaan Turki Uthmaniyah pimpinan Sultan Abdul Majid II secara rasminya telah jatuh ke tangan pemerintah sekular pimpinan Mustafa Kamal Attarturk Laknatullah alaih.

Seluruh dunia Islam terjaga dari lenanya dengan kejutan yang amat besar, setelah dilamun mimpi ngeri dan menakutkan. Mereka seolah-olah tidak percaya dengan apa yang berlaku, apa yang didengar dan apa yang dilihat hingga timbul pelbagai persoalan : Adakah masih ada Kerajaan Islam Uthmaniyah? Adakah betul kerajaan yang kuat telah tumbang? Kerajaan apakah selepas ini yang mampu mempertahankan Islam dan umatnya? Tragedi ini merupakan sejarah hitam dan pahit bagi setiap insan yang bergelar muslim.

Dalam masa yang sama, dunia Kristian dan Yahudi juga tersedar daripada suatu mimpi yang amat indah, seolah-olah telah mendapat apa yang dicita-citakan sebelum ini iaitu kejatuhan Khilafah Islamiyah. Kegembiraan disambut segenap lapisan masyarakat Kristian di seluruh dunia. Seorang jeneral tentera bernama Al-Alambi dengan bongkak berkata setelah memasuki al-Quds : “ Sekarang telah tamatlah peperangan Salib “. Begitu juga dengan jeneral tentera Perancis yang bernama Goro. Beliau pergi ke makam Salahuddin al Ayyubi yang berada di Damascus dan berkata sambil memijak-mijak makam tersebut : “ Bangunlah wahai Salahuddin ! Sekarang kami telah kembali ! “

Sabda Rasulullah SAW :
“ Tidak akan terjadi hari kiamat sehinggalah sampai masa orang-orang Yahudi memerangi umat Islam lalu umat Islam memerangi mereka sehingga mereka lari bersembunyi di sebalik batu-batu dan pokok-pokok. Batu-batu dan pokok-pokok lamtas berkata : Wahai muslim, wahai hamba Allah, di belakangku ini ada orang Yahudi, maka datanglah dan bunuhlah dia.”

Mari semua ! Bangit dan sedarlah tanggungjawab kita yang sebenar. Di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa. Usah lalai dan biarkan umat Islam terus menerus dihinjak dan dicaci. Kini kitalah mata rantai dan pendukung kepada  perjuangan Islam yang akan menggegarkan saentero dunia dengan kalimah agung ALLAH AKBAR !!!


 

February 06, 2010

cinta : lawan vs kawal ??


.:بسم الله الرحمن الرحيم:.


“Bagaimana kita mahu menasihatkan mad’u(ahli usrah) kita yang bercinta?” Satu soalan diberikan kepada ahli panel forum. Saya hanya duduk di belakang dewan memerhatikan sahaja gelagat si penyoal.

“Ada seorang rakan yang saya kenal di kampus. Aktif dalam gerakan dakwah tetapi dalam masa yang sama dia juga bercinta dengan seorang perempuan. Cuma selalunya hanya berjumpa apabila ada meeting, atau pun chatting di Yahoo Messenger dan sms…” Seorang lagi peserta bangun bercerita pengalamannya pula. Juga tentang cinta.

Masa remaja tentunya masa yang penuh dengan gelora perasaan kerana ia merupakan transisi menuju dewasa. Tidak kiralah mereka itu aktivis dakwah atau pun tidak kerana perasaan ingin menyayangi dan disayangi itu adalah fitrah. Tumbuh secara semula jadi dalam diri.

Semua manusia pasti ada perasaan tersebut. Mulanya hanya berjumpa sewaktu meeting, bekerjasama dalam program dakwah dan tarbiyah dan kemudian mulalah kerap sms bertanya khabar.

Lawan Vs. Kawal

“Kamu perlu lawan perasaan itu.” Kata seorang naqib sewaktu saya di sekolah dahulu.

Lawan? Kerana lawanlah perasaan tersebut dipendam-pendam. Akhirnya membuak-buak dan pecah. Lalu langsung tidak terkawal apabila di universiti. Itulah yang terjadi kepada beberapa orang rakan saya… Dan juga senior termasuk naqib saya itu.

Sudah beberapa kali saya terserempak dengan beberapa senior sekolah lama saya yang merangkap ketua pelajar mahupun naqib, kini keluar berdua-duaan dengan pasangan.

“Eh, abang dah berkahwin ke? Tak jemput ana pun.” Sengaja saya mengusik. Tersipu-sipu malu mukanya.

“Belum lagi.” Jawabnya ringkas.

Perasaan cinta bukan perlu dilawan
. Mengapa perlu dilawan perkara yang sudah menjadi fitrah? Tetapi perasaan cinta itu perlu dikawal. Disalurkan ke tempat yang betul. Dikawal supaya tidak melampau batas-batas yang telah ditetapkan Tuhan.

“Sudah ada ikatan yang sah belum? Jika belum ada cepat-cepat mengikat dengan cara yang sah dan terbaik. Jika masih lama lagi waktunya untuk mengikat hubungan, maka seeloknya berhentikanlah dahulu. Takut-takut nanti jadi jemu dan akhirnya berpisah begitu sahaja. Sekurang-kurangnya bertunanglah…”

Seorang ustaz saya ada menasihatkan, “Siapa kata bertunang tidak boleh berkenal-kenalan dengan pasangan kita itu? Waktu pertunanganlah waktu untuk kita berkenal-kenalan. Islam menyuruh kita memilih pasangan yang sesuai dengan diri kita sebelum kita menikahinya.”

Over Rate Diri Sendiri


“Saya ada menyukai seseorang, dan kami telah berkenalan agak lama. Cuma sekarang saya rasa serba salah. Adakah cara kami ini salah atau betul?” Seorang rakan menyoal saya. Dan saya mengenalinya sebagai orang kuat dalam satu persatuan agama di kampus.

“Apa cara yang kamu rasa salah atau betul itu?” Saya kembali menyoal.

“Kami tidaklah kerap berjumpa seperti pasangan lain. Kalau berjumpa pun akan ada seseorang menemani. Kami cuma kerap berhubung melalui sms. Itupun sms kami selalunya berkaitan persoalan agama.” Dia cuba menerangkan.

Saya menarik nafas panjang. Kemudian melepaskannya perlahan-lahan. Dalam hati ingin saja berkata, ’Saya bukanlah seorang yang selalu pergi ceramah agama berbanding dia. Lagikan pula memberi ceramah sana-sini seperti dia. Tetapi tahu jugalah sikit-sikit tentang persoalan ikhtilat(pergaulan) antara lelaki dan perempuan.’

“Dalam diri kita ini tidak kiralah siapa pun, ada satu sifat over rate diri sendiri. Tidak kiralah saya atau pun kamu, turut ada sifat itu.” Saya cuba memulakan penerangan. Berhenti seketika.

“Apa maksud sifat over rate itu?” Belum sempat saya meneruskan, dia menyoal.

“Sifat ini yang membuatkan kita merasakan apa yang kita buat nampak macam betul. Sedangkan bila kita tengok orang lain buat, nampak macam salah. Walhal perbuatan tersebut lebih kurang sama sahaja. Itu yang menyebabkan selalu saya lihat hari itu si dia pergi menegur sepasang remaja yang duduk bersembang, tetapi esoknya saya lihat dia pula berjumpa dengan pasangannya.

Kemudian siap bersembang dalam sms ataupun chatting di YM agak lama. Cuma nampak sahaja seperti lebih baik, tetapi maksud dan tujuannya tetap sama. Tetap dalam bahasa yang selalu kita panggil sebagai ’couple’. Ini kerana kita merasakan diri sendiri itu sudah terlalu baik, jadi apa sahaja yang dibuat dirasakan sebagai tindakan yang betul.” Saya cuba menerangkan sebaik mungkin.

Dia kemudian meminta diri daripada saya. Entah dapat menerima kata-kata saya sebentar tadi ataupun tidak.

Saya bukanlah melarang perbincangan agama melalui sms dan chatting di YM. Perkara yang elok mengapa perlu dihalang. Tetapi perlulah dikawal. Seeloknya bertanya dahulu dengan ustaz atau ustazah, sekiranya tidak berkemampuan bertanyalah kepada rakan yang sejantina terlebih dahulu. Jika tidak dapat juga, barulah bertanya kepada yang berlainan jantina.

Bukanlah salah kalau ia satu keperluan tapi takut-takut kita sengaja cuba mencari ’alasan’ dengan mengadakan perbincangan agama supaya dapat berhubung dengan si dia.

Hijab dan Wanita Dakwah

Hijab ertinya tirai atau dinding. Memisahkan antara sesuatu dengan sesuatu. Dalam maksud yang lain juga bermakna perselindungan wanita dalam Islam daripada lelaki yang bukan muhrimnya.

Islam membentuk satu peraturan hijab, melatih manusia untuk mendisiplinkan kecenderungan diri mereka terhadap jenis yang berlawan dengan mereka. Agar kecenderungan ini disalurkan melalui jalan-jalan yang halal.

pahrol juoi“Hijab bukan hanya terbatas kepada perintah untuk wanita menutup kepala dan muka mereka sahaja. Tetapi ia juga adalah panduan bagi lelaki dan perempuan dalam kehidupan bermasyarakat.

Tidak guna rasanya jika seseorang perempuan itu memakai tudung labuh dan purdah tetapi masih juga melakukan hal-hal yang tidak sepatutnya. Apabila ada persoalan yang tidak dapat terjawab terus mencari ’lelaki yang disukainya’ untuk bertanyakan soalan.”

Jika seseorang itu merasakan dia sudah memiliki nilai-nilai akhlak yang baik tetapi meninggalkan aspek hijab dalam pakaiannya, maka ini adalah satu kekeliruan yang besar.

Contohnya seseorang itu telah banyak menunaikan solat fardu dan sunat, malah sudah banyak kali menunaikan haji. Bolehkah dia meninggalkan solat Subuh walau sekali? Tentu sekali tidak. Dalam Islam tidak ada konsep ’sekiranya sudah melaksanakan perkara yang wajib, boleh menggugurkan perkara wajib yang lain’.

Samalah halnya dengan jika seseorang sudah menutup aurat sepenuhnya tetapi masih juga melanggar batas-batas pergaulan..

p/s : cinta yang lazimnya ditujukan kepada pemuasan hawa nafsu semata-mata sebenarnya ialah cinta yang diilhamkan oleh ALLAH kepada binatang & haiwan 
- Al-Farabi-